Jangan pandang remeh PIBG - Yahya


YAHYA Hussin (tengah) menerima cenderamata daripada Mohd. Faizal Baniamin sambil diperhatikan oleh Patimah Ali di SMK Tansau, Putatan, Sabah, semalam.


PUTATAN 19 Feb. - Ibu bapa di negeri ini diminta tidak memandang remeh terhadap kepentingan menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, ini kerana mesyuarat PIBG merupakan medium penting bagi ibu bapa membincangkan perkembangan anak- anak mereka di sekolah.

"Pelbagai isu berkaitan biasanya dibincangkan dalam pertemuan itu yang boleh meningkatkan persefahaman antara kedua-dua pihak.

"Anak-anak juga akan berasa bersemangat apabila mengetahui ibu bapa mereka menghadiri mesyuarat PIBG," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi PIBG SMK Tansau, Mohd. Faizal Baniamin dan Pengetua SMK Tansau, Datin Patimah Ali.

Yahya berkata, semua ibu bapa harus sedar mengenai pentingnya PIBG dalam perkembangan pendidikan anak-anak mereka.

Katanya, PIBG juga menjadi platform bagi memupuk persefahaman antara guru dan ibu bapa.

Dalam pada itu, beliau berkata, jalinan kerjasama yang erat antara ibu bapa dan guru menjadi pemangkin kepada pencapaian setiap pelajar.

"Oleh itu, bapa tidak seharusnya menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka kepada pihak sekolah semata-mata," ujarnya.

Utusan Malaysia: 20 Februari 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel