Lambakan guru sains, matematik akan diatasi - Mohd. Fuad

BATU PAHAT 4 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memperhalusi dakwaan berlaku lambakan 13,000 guru sains dan matematik di seluruh negara, kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perbincangan juga akan dilakukan bagi mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah itu yang harus dilihat secara menyeluruh kerana membabitkan pelbagai faktor termasuk peranan ibu bapa.

"Memang sudah diwujudkan Jawatankuasa Penyelarasan dalam memastikan unjuran pengambilan guru tidak berkurangan mahupun berlebihan tetapi jumlah pelajar yang memilih bidang sains menurun, mungkin menyebabkan berlaku lambakan seperti didakwa.

"Saya tidak pasti ketepatan bilangan lambakan guru seperti yang didakwa itu tetapi dasar kita adalah melahirkan 60 peratus pelajar jurusan sains. Bagaimanapun, kita tak boleh paksa ibu bapa dan anak memilih jurusan sains," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung isu lambakan guru tersebut, baru-baru ini.

Laporan itu berdasarkan ulasan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap taklimat Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa.

Zakaria dilaporkan berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara telah dihantar ke UPSI untuk latihan semula.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa merangka kaedah proaktif termasuk menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk memastikan minat pelajar dalam bidang Sains dan Matematik meningkat.

"Kementerian sendiri akan terus menggalakkan sekolah dan pelajar menceburi bidang ini selain memperbanyakkan lagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) aliran Sains dan kelas aliran Sains di sekolah seluruh negara namun, ibu bapa juga perlu memain peranan dan menyemai minat anak mereka.

"Saya juga cadangkan sekolah ambil inisiatif termasuk menubuhkan serta mengadakan pelbagai kelab dan aktiviti berunsur Sains dan Matematik termasuk kelab robotik mahupun menyertai ekspo mahupun lawatan supaya minat pelajar terhadap bidang ini dapat terus dipupuk," katanya.


Utusan Malaysia Online: 5 Februari 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel