E-mel anda: Pemilihan GSTT kacau

APA yang ingin saya kongsi dan luahkan di sini adalah perkara yang hampir sama dengan laporan yang disiarkan dalam ruangan ini, baru-baru ini.

Saya salah seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) sesi 2008 dan 2009 dan memohon latihan perguruan bagi GSTT untuk pengambilan Disember 2011.


Saya menghadiri sesi semakan dokumen pada 4 Oktober 2011 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu.

Pada Isnin, 19 Disember 2011, keputusan pengambilan GSTT diumumkan secara dalam talian menerusi laman web www.moe.gov.my.


Apabila nama saya tiada selepas dibuat semakan, saya menghubungi Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di Putrajaya dan diberitahu bahawa semua senarai nama yang ‘BERJAYA’ akan dikeluarkan sehingga pada Jumaat 23 Disember 2011.


Walaupun kecewa dengan layanan kurang mesra yang diterima, saya abaikan, selain diberitahu pegawai terbabit bahawa ‘pihak kami serius dan teliti dalam menjalankan tugas serta tidak main-main dalam perkara seperti ini.’ Beliau juga menyatakan saya boleh membuat rayuan jika mahu berbuat demikian.

Bimbang nama tiada dalam senarai, saya mengemukakan surat rayuan kepada BPG di Putrajaya pada 21 Disember 2011 dan menyertakan semua dokumen yang berkaitan. Tarikh tutup rayuan adalah pada hari 26 Disember 2011. Kemudian semakan dibuat sekali lagi pada Jumaat, 23 Disember 2011 dan menurut paparan berkenaan, ‘TAHNIAH, PERMOHONAN ANDA BERJAYA.’ Alangkah gembiranya saya pada ketika itu dan semua ahli keluarga turut bersama-sama meraikan kejayaan saya.


Akhirnya, saya akan dapat bergelar seorang guru yang sebenar kerana akan mendapat latihan perguruan sebaiknya seperti yang diidam-idamkan selama ini.

Saya mengambil tindakan untuk tidak mencetak slip keputusan itu kerana kebetulan berada di kampung selain di dalam slip berkenaan juga memaklumkan bahawa keputusan penempatan hanya akan diumumkan pada hari Isnin, 26 Disember 2011.


Oleh itu, saya ingin mencetaknya secara serentak dengan keputusan penempatan nanti.


Apabila keputusan penempatan diumumkan, saya dimaklumkan ‘bahawa penempatan akan diberitahu setelah mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran Negeri’ dan seterusnya saya dipilih untuk Ambilan Kedua.


Pada 18 Januari 2012, saya menerima surat panggilan menerusi laman web sama untuk hadir ke pusat semakan dokumen bagi tujuan semakan dan pengumpulan dokumen Ambilan Disember 2011 Mod Sepenuh Masa bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terenganu, Marang, Terengganu.


Pada anggapan saya, ia adalah prosedur biasa kerana sebelum ini saya diberitahu bahawa dokumen saya tidak lengkap.


Pada hari berkenaan semuanya berjalan dengan lancar dan semua dokumen yang disertakan adalah lengkap.


Akan tetapi, pada 27 Januari 2012, melalui talian semakan untuk Ambilan Kedua, apabila semakan dibuat, alangkah terkejutnya saya melihat paparan skrin ‘HARAP MAAF, PERMOHONAN ANDA TIDAK BERJAYA.’ Saya sama sekali tidak menduga perkara sedemikian akan berlaku.


Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Seluruh dunia dirasakan gelap dan masa depan saya hancur musnah.


Bagaimana perkara seumpama ini boleh terjadi sedangkan sebelum ini saya adalah salah seorang calon yang diberitakan ‘BERJAYA.’ Saya berasakan seolah-olah nama saya dibatalkan daripada senarai yang berjaya.


Jika pihak BPG menjalankan tugas dengan ‘serius dan teliti’, saya pasti keadaan seperti ini tidak akan berlaku.


Oleh kerana Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah sebuah jabatan kerajaan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi, saya meletakkan kepercayaan penuh kepada mereka. Disebabkan kepercayaan itu jugalah saya tidak mencetak slip permohonan ‘BERJAYA’ kerana percaya pihak kementerian tidak akan ‘main-main’ dalam perkara penting seperti ini.


Saya juga tertanya-tanya bagaimana proses pemilihan dilakukan kerana kawan saya yang sama-sama mengajar di sekolah yang sama, dalam tempoh sama, berjaya, tetapi tidak bagi saya.


Jika syaratnya ditambah iaitu pemohon mestilah kumpulan yang mengajar pada 2010, kawan saya yang berjaya juga tidak mengajar pada tahun berkenaan.


Keadaan kami sama, tetapi menerima nasib yang berbeza. Ini adalah sesuatu yang tidak adil dan satu penganiayaan.


Saya menghantar dua pucuk surat kepada pihak BPG sejak Februari lalu dan yang terkini kepada Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meminta penjelasan berkaitan perkara ini namun sehingga sekarang tiada sebarang maklum balas dan reaksi daripada mereka. LEEZ Kota Bharu


myMetro: 16 April 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel