Muhyiddin pengerusikan mesyuarat penambahbaikan sistem pendidikan


MUHYIDDIN Yassin ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pelajaran Negeri 2012 di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 3 April - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Exco Pelajaran Negeri bagi membincangkan dasar-dasar penambahbaikan dan sistem pendidikan negara.

Mesyuarat Menteri Pelajaran bersama Exco dan penyelaras pelajaran negeri itu bertujuan meningkatkan rangkaian kerjasama yang lebih sistematik antara kedua-dua pihak.

Antara yang dibincangkan di dalam pertemuan tertutup itu adalah dasar-dasar baru dan usaha penambahbaikan kepada dasar sedia ada, inisiatif kementerian serta prosedur dan garis panduan pelaksanaan dasar pendidikan negara.

Mesyuarat yang dijadual diadakan dua tahun sekali itu juga bertujuan memastikan pelaksanaan program pendidikan di peringkat akar umbi lebih teratur dan berkesan.

Melalui mesyuarat itu, Kementerian Pelajaran dikatakan akan memberi penjelasan dan penerangan kepada Exco pelajaran negeri mengenai perancangan dan dasar-dasar baru.

Atas platform yang sama, Exco pelajaran negeri dijemput memberi pandangan terhadap usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Utusan Malaysia Online: 4 April 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel