Pelan pendidikan ambil kira pandangan rakyat

2012/04/28

   MUHYIDDIN   bersama isteri,  Puan Sri Norainee   diiringi   Musa   ketika tiba pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau, Sabah, semalam.
MUHYIDDIN bersama isteri, Puan Sri Norainee diiringi Musa ketika tiba pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau, Sabah, semalam.
RANAU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa cadangan dalam kajian Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara akan dilaksanakan seawal tahun depan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk rakyat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian berkenaan dilaksanakan jawatankuasa kerja khas manakala sesi dialog mengenainya akan dimulakan bulan ini.
"Kajian dijangka siap akhir tahun ini dan kita akan laksanakan beberapa langkah yang boleh dibuat awal tahun depan," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau, yang dibina dengan kos RM39 juta, di sini, semalam.
Kajian dijangka siap akhir tahun ini dan kita akan laksanakan beberapa langkah yang boleh dibuat awal tahun depan. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
Hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, turut menerima tapak tanah bagi pembinaan Institut Aminuddin Baki cawangan Sabah di Menggatal, Kota Kinabalu.

Muhyiddin berkata, Dasar Transformasi Nasional yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meletakkan bidang pendidikan sebagai antara aspek utama dalam menentukan kejayaan Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Untuk mencapainya bukan mudah dan ia adalah cabaran besar yang perlu kita hadapi. Satu daripada tumpuannya ialah pembangunan modal insan kerana ketika itu Malaysia bakal menjana Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) berjumlah RM1.3 trilion dan bagi mencapainya, kita memerlukan lebih ramai tenaga kerja terlatih.
"Ketika ini, jumlahnya dalam 12 juta dan kita perlu menambah kira-kira 3.3 juta dan itu sebabnya kita perlu memberi penekanan terhadap tuntutan pendidikan prasarana ke arah melahirkan modal insan berkualiti," katanya.

Sehubungan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, tuntutan pendidikan bukan hanya terhad untuk pembangunan infrastruktur malah meliputi penyediaan tenaga pengajar terlatih bagi membolehkan negara melahirkan modal insan berkualiti, berilmu dan berkemahiran.

Berita Harian Online: 28 April 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel