Sekolah di Wilayah Persekutuan kekal prestasi terbaik

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/04/18

SEMUA sekolah di Wilayah Persekutuan yang meliputi Kuala Lumpur dan Putrajaya berada dalam kategori Cemerlang, Baik dan Memuaskan berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) sejajar pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang, berkata lima sekolah menduduki kategori Cemerlang, Baik (32) dan Memuaskan (67) berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun lalu.
Katanya, sekolah Cemerlang adalah Sekolah Menengah (SM) Sultan Alam Shah, Putrajaya serta empat sekolah di Kuala Lumpur iaitu SM Sains Shah Alam, SM Sains Selangor, SM Sains Seri Puteri dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki.
“Tiada sekolah dikategorikan Berpotensi yang menunjukkan kesan positif Tawaran Baru antara pihak sekolah dengan kementerian dalam usaha meningkatkan prestasi akademik,” katanya.

Berdasarkan rekod pencapaian SPM tahun lalu, Wilayah Persekutuan kali ini adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Peningkatan ini dipengaruhi Dasar Mengehadkan Jumlah Maksimum Sepuluh Mata Pelajaran dan Penambahan Dua Mata Pelajaran dalam peperiksaan yang dilaksanakan pada 2010.

Khairil berkata, seramai 55 calon istimewa menduduki SPM di Wilayah Persekutuan tahun lalu, daripada jumlah itu dua orang rabun berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu masing-masing 4A+ serta 2A dan 3A- dan 3A+ serta 4A dan 2A- (kecacatan lain) daripada sembilan mata pelajaran yang diambil.

Katanya, ini menunjukkan calon berkeperluan khas mendapat peluang dan mempunyai kemampuan mencapai kecemerlangan seperti calon lain.
Beliau berkata, ketika ini kemudahan disediakan kepada mereka adalah seperti kertas soalan braille untuk calon cacat penglihatan, kertas soalan moderasi untuk cacat pendengaran dan kertas soalan cetakan besar untuk calon rabun.

“Pelajar berkenaan diperuntukkan masa berbeza dengan calon normal dengan mengambil kira status mereka sebagai orang kelainan upaya (OKU). Namun kita percaya daripada aspek akademik mereka boleh bersaing dengan pelajar normal.

Berita Harian Online: 18 April 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel