Tawar diploma

Oleh NURUL HUSNA MAHMUD
metahad@hmetro.com.my


SUNGAI BULOH: “Tiada lagi penerima anugerah cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima hadiah di dewan sekolah bermula tahun 2015.
“Ia berikutan sekolah bakal dinaik taraf sebagai kolej vokasional dengan menawarkan peluang pengajian lebih kritis menerusi program diploma bermula tahun depan,” kata Pengetua Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Sungai Buloh, A Rahim A Wahab pada Majlis Hari Anugerah Cemerlang 2012 di sini, semalam.

Menurutnya, ia sejajar dengan transformasi pendidikan kemahiran apabila kerajaan mahukan lebih ramai tenaga mahir dilahirkan bagi mengisi kekosongan dalam industri tertentu.
“Ketika ini keperluan dalam industri begitu kritikal, sekali gus memaksa kerajaan membawa kemasukan tenaga asing.

“Diharap program rintis disertai 15 sekolah teknik dan vokasional seluruh negara dilihat dapat menyediakan lulusan tenaga kemahiran yang memenuhi permintaan industri,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Pengetua, Azimah Azman, 17, berkata dia memperoleh keputusan cemerlang baru-baru ini kerana jelas dengan sasaran untuk mendapatkan A dalam semua subjek, menyebabkannya bersemangat setiap kali mengulang kaji.

“Saya memang letakkan sasaran semua A, tetapi sebaik mendapat keputusan satu subjek B saya kecewa sedikit. Namun ia tidak melemahkan semangat, malah menjadi peringatan untuk berusaha lebih keras.

“Antara pengorbanan saya lakukan ialah tidak melayari laman Facebook sebaik tiba musim peperiksaan, sebaliknya manfaatkan masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran,” katanya.
Penerima Anugerah Bestari, Mohamad Hanis Nazri, 17, berkata, mengamalkan bacaan Yasin setiap pagi dan sentiasa berfikiran positif banyak membantunya mengimbangi pembabitan sama ada dalam akademik mahupun kokurikulum.

“Tidak dinafikan tugas sebagai pengawas sekolah dan pembabitan dalam bidang kokurikulum sedikit merumitkan kerana perlu menumpukan perhatian penuh dalam bidang akademik.

“Namun saya percaya dengan kemampuan diri mengimbangi semua perkara yang lakukan andai saya lihat ia daripada segi positif,” katanya.

myMetro: 28 April 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel