Festival Hari Guru disambut meriah

ZAMBRY Abd. Kadir (enam dari kanan) dan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (lima dari kanan) bersama pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang di Kuala Kangsar, semalam.
KUALA KANGSAR 13 Mei - Bahang sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan semakin dirasai apabila ribuan pengunjung menyerbu Festival Hari Guru 2012 yang berlangsung meriah di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini hari ini.
Cuaca baik membolehkan pengunjung terdiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuk para pelajar dan guru datang seawal pukul 9 pagi dengan membanjiri khemah serta padang sekolah berkenaan yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik.
Kemeriahan hari kedua festival tersebut semakin dirasai sebaik sahaja bermula acara perasmian di pentas utama yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sumber Manusia dan Sains negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Supaat Tumin; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.
Selain gerai pameran dan jualan, festival dimeriahkan dengan kehadiran maskot Upin dan Ipin, persembahan kebudayaan dan lukisan karikatur bersama pelukis akhbar Utusan Malaysia.
Turut menjadi tumpuan ialah kios syarikat Malaysian Building Society Bhd. (MBSB) yang menyediakan pakej penghargaan kepada guru iaitu sebuah Toyota Prius bernilai RM130,000 serta pakej umrah bernilai RM30,000 selain barangan berjenama Apple seperti iPhone 4S, iPad dan MacBook untuk dimenangi.
Orang ramai juga tidak melepaskan peluang merasai pengalaman menjadi wajah penghias kulit majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dengan mengunjungi Studio Foto yang disediakan di gerai tersebut.
Kemunculan Upin dan Ipin yang dibawa khas sempena karnival tersebut ternyata mencuri tumpuan para pengunjung terutama kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar dengan dua watak animasi popular itu.
Festival dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Terdapat lebih 100 pempamer daripada pelbagai syarikat dan badan-badan kerajaan mengambil bahagian pada festival selama lima hari ini, selain penglibatan sebanyak kira-kira 50 gerai peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di luar khemah utama.
Festival yang diadakan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan itu menerima penajaan daripada KPerak, MBSB, Celcom, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Pembangunan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Antara syarikat yang turut sama memeriahkan festival kali ini termasuk Proton, Celcom, Bank Simpanan Nasional (BSN), Sasbadi, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. dan Suruhanjaya Sekuriti.

Utusan Malaysia Online: 14 Mei 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel