Selamat Hari Guru - Terima kasih cikgu

MARI kita hentikan sebentar isu Bersih 3.0 atau kemelut politik yang sedang rancak sekarang ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Jika saya bertanya kepada anda bolehkah namakan 10 orang guru yang pernah mengajar anda semasa belajar di peringkat pra sekolah hingga tamat sekolah menengah?
Sekiranya anda boleh memberikan nama penuh ke semua orang guru itu dan dapat membayangkan wajah mereka di minda maka anda dikira terdiri daripada kategori orang cemerlang.
Tetapi andai kata tidak seorangpun nama guru yang diingati dan tidak terbayang langsung wajah mereka maka anda bolehlah digolongkan dalam kumpulan lemah memori atau golongan kurang cerdik kerana tidak prihatin terhadap orang yang pernah mendidik dan tidak jemu-jemu menyampaikan ilmu pengetahuan.
Tidak dapat dinafikan bahawa gurulah di antara orang yang banyak berjasa kepada kita semua. Tanpa mereka mungkin hari ini kita tidak pandai membaca, menulis atau mengira. Kerana merekalah minda kita terbuka dan keluar dari kepompong dengan melihat jendela dunia dari sudut yang lebih luas.
Guru dapat membantu seseorang untuk berjaya dalam mengejar cita-cita. Guru berkesan kerap memberi bimbingan, mencabar keupayaan dan membakar semangat anak muridnya supaya berani mencuba dan tidak mudah berputus asa.
Menurut Wikipedia, ‘guru’ daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud orang yang mengajar sesuatu ilmu. Hari ini ‘guru’ merujuk kepada pendidik profesional dengan tugas utama mendidik, mengajar, membimbing, mengarah, melatih dan menilai anak muridnya. Guru bertugas mulai peringkat awal kanak-kanak hingga ke peringkat menengah atas.
Mereka mempunyai kelulusan dan kelayakan tertentu serta mendapat latihan secara formal. Dalam melaksanakan tugas mengajar sama ada di sekolah kerajaan atau swasta mereka perlu patuh kepada garis panduan serta diikat dengan peraturan dan etika perguruan.
Bagi meningkatkan kualiti guru, Kementerian Pelajaran telah menyediakan Standard Guru Malaysia (SGM) merupakan panduan kompetensi profesional yang seharusnya dicapai oleh guru. Oleh itu, institusi dipertanggungjawabkan akan membantu guru bagi mencapai kemahiran yang telah ditetapkan. Dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju melalui Wawasan 2020 guru berperanan melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif, berpengetahuan, mahir ICT, menguasai ‘soft skills’ dan berdaya saing.
Untuk mencapai hasrat itu latihan guru dimantapkan, mengetatkan pemilihan bakal guru, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru, menambah baik laluan kerjaya dan menjaga kebajikan mereka.
Di negara kita bilangan guru di sekolah kerajaan mencecah 400,000 orang yang berkhidmat hampir di 10,000 buah sekolah. Golongan ini boleh dikatakan bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan mereka yang berkhidmat di sekolah swasta atau sekolah agama rakyat.
Jika dibuat perbandingan mereka menerima gaji lebih tinggi, peluang kenaikkan pangkat lebih banyak, kemudahan rawatan di hospital, skim pinjaman perumahan dan kenderaan serta kemudahan persaraan. Satu lagi kelebihan yang tidak disedari ialah peluang bertugas di tempat pilihan sendiri. Ini disebabkan di negara kita terdapat institusi sekolah di seluruh pelosok tanah air dan mungkin ada di antaranya menjadi pilihan mereka.
Akibat perubahan zaman maka tugas guru masa kini adalah lebih mencabar jika dibandingkan dengan masa lampau. Peranan guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan sebahagiannya telah diambil melalui kecanggihan ICT.
Maklumat boleh didapati dengan cepat dan lengkap melalui Internet serta bahan elektronik yang lain. Oleh itu, guru perlu bertindak bijak dengan mendahului murid dari segi penguasaan ilmu pengetahuan. Mereka perlu membuat persediaan awal dengan melakukan rujukan daripada berbagai sumber sebelum berhadapan murid di bilik darjah.
Demikian juga persepsi ibu bapa terhadap guru turut berubah. Jika masa dahulu ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah memberi kuasa penuh kepada guru mendidik anak mereka termasuk membenarkan denda secara fizikal sekiranya anak itu nakal atau tidak mematuhi arahan. Tetapi kini keadaannya berlainan. Guru tidak boleh mendenda murid secara fizikal. Di setengah sekolah guru dilarang memarahi atau mengeluarkan perkataan kasar walaupun murid melakukan kesalahan. Mereka digalakkan memberi nasihat atau bimbingan secara kaunseling.
Kerap kita mendengar ada ibu bapa yang mengambil tindakan undang-undang atau memberi amaran kepada guru yang menghukum anaknya. Lebih malang lagi ada murid yang mencalar kereta guru jika mereka tidak suka kepada seseorang guru. Ini adalah sebahagian dilema yang dihadapi oleh guru dalam menangani kerenah murid.
Selepas menamatkan latihan perguruan tidak semua guru dapat mengajar di sekolah yang menjadi pilihan mereka. Ada di kalangan mereka ditempatkan jauh di pedalaman atau di pulau-pulau terpencil. Cuba bayangkan jika kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan elektrik dan air sudah tentu ada di antara guru mengalami kejutan di tempat baru itu.
Dari segi tempat tinggal pula tidak semua sekolah menyediakan kemudahan rumah guru. Ada yang terpaksa tinggal di bilik kecil yang terdapat di bangunan sekolah. Ini disebabkan tidak terdapat rumah yang boleh disewa dan lokasi sekolah pula jauh dari kawasan perumahan. Sebagai penjawat jawatan awam mereka perlu akur dan patuh mengikut perintah walau di mana mereka ditempatkan.
Tidak dapat dinafikan cabaran yang paling besar dihadapi oleh guru ialah sikap negatif murid terhadap pengajaran guru. Tidak mudah untuk menarik perhatian murid jika mereka sendiri tidak berminat untuk belajar. Di samping itu guru perlu menyesuaikan kaedah pengajaran mereka mengikut tahap kebolehan murid.
Cuba bayangkan jika terdapat 40 murid dalam sebuah kelas guru terpaksa kerap menyesuaikan pendekatan pengajaran agar semua murid dapat menghayatinya. Sikap tidak minat belajar boleh membawa kepada ponteng kelas dan ponteng sekolah.
Akibatnya kemajuan pelajaran akan terganggu dan boleh menyebabkan gagal dalam peperiksaan. Bagi ibu bapa yang tidak memahami tingkah laku anak lantas menyalahkan guru atas kegagalan tersebut.
Untuk membantu tugas guru maka ibu bapa perlu turut berperanan mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka. Bimbingan dan tindak ikut berterusan perlu dan tidak hanya menyerahkan tugas mendidik kepada guru. Ibu bapa juga disaran menganggap guru sebagai rakan. Hubungan secara bersemuka perlu kerap dilakukan terutama sekiranya terdapat sebarang perubahan pada diri anak. Rasa setiakawan dengan guru perlu sentiasa disematkan pada diri ibu bapa. Ambillah tindakan segera sekiranya dihubungi oleh guru.
Sempena Hari Guru yang dirayakan setiap 16 Mei anda dicadang mengirimkan sekeping kad ucap selamat kepada bekas guru yang pernah mengajar anda atau yang sedang mengajar anak anda. Atau setidak-tidaknya apabila bertemu mereka ucapkanlah ‘Selamat Hari Guru’ dan ‘Terima Kasih Cikgu.’

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru
Malaysia Berhad

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel