Tiada kaitan kongsi gelap

KUALA LUMPUR: Setakat ini hanya 20 suspek terdiri daripada kumpulan remaja dan pelajar sekolah menengah yang ditahan polis berhubung kes pergaduhan di luar kawasan sebuah sekolah di Cheras Perdana, dekat sini hingga mengakibatkan 16 cedera termasuk seorang guru penolong kanan sekolah berkenaan, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, berhubung kecederaan seorang guru penolong kanan sekolah itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan, guru terbabit tercedera bukan kerana dijadikan sasaran kumpulan yang bergaduh, tetapi terkena objek yang dibaling seorang daripada kumpulan itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati guru berkenaan bukan sengaja dibaling atau dicederakan, tetapi terkena objek balingan seorang daripada remaja yang bergaduh ketika mangsa cuba meleraikan pergaduhan dan sehubungan itu tiada suspek tertentu yang dicari kerana mencederakan mangsa.
“Kami menahan 20 suspek berusia antara 15 dan 21 tahun di sekitar daerah berkenaan yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan itu dalam beberapa serbuan susulan pada hari kejadian.

“Seramai 14 suspek yang ditahan adalah pelajar sekolah berkenaan, manakala enam lagi remaja tidak bersekolah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Difahamkan polis menahan semua suspek berdasarkan keterangan daripada saksi kejadian dan pihak sekolah serta penemuan dua motosikal milik kumpulan remaja terbabit yang ditinggalkan selepas kejadian kerana rosak teruk, selain rakaman video melalui telefon bimbit seorang pekerja sekolah yang berada di lokasi ketika insiden pergaduhan itu berlaku.

Polis turut menegaskan pergaduhan itu tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap atau aktiviti gangsterisme, tetapi berpunca daripada salah faham antara dua pelajar hingga membawa pergaduhan.

Harian Metro kelmarin, melaporkan sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.

myMetro: 18 Jun 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel