Bukan salah guru sahaja

MEMANG dikesalkan apabila ada murid dinafikan hak mereka untuk mengambil peperiksaan. Tetapi tidak ramai yang menyalahkan ibu bapa, hanya guru sahaja yang dipersalahkan.

Di sekolah saya sendiri, saban tahun, akan ada beberapa orang murid yang bakal menduduki UPSR tidak hadir ke sekolah sepanjang tahun selepas nama mereka didaftarkan.

Waris mereka telah dihubungi sama ada melalui surat berdaftar atau pergi sendiri ke rumah, tetapi tiada tindakan diambil. Walau bagaimanapun mereka masih dibenarkan menduduki peperiksaan. Bayangkan apa yang akan mereka jawab nanti!

Pihak sekolah tidak ada masalah dan sentiasa memberikan perhatian kepada murid lemah yang hadir ke sekolah setiap hari.

Pihak sekolah tidak memotong nama murid yang ponteng dalam jangka masa yang lama kerana menyahut seruan kerajaan untuk memberi peluang kepada murid-murid tersebut. Walaupun terdapat pekeliling KPM yang menyatakan akan mengenakan denda RM5,000 kepada ibu bapa yang gagal menyekolahkan anak mereka, ia tidak pernah dilaksanakan.

PESARA GURU,

Utusan Malaysia Online: 5 Oktober 2011

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel