Kesalahan paling berat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang didapati bersalah memukul guru berikutan kesalahan itu paling berat berbanding masalah disiplin lain.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kementerian sentiasa memandang serius kes begitu dan mahu pengurusan sekolah serta Jabatan Pelajaran Negeri membuat laporan menyeluruh sebelum tindakan tegas dapat diambil.

“Jika pelajar memukul guru memang kami kelaskan ia kes berat dan takkan berkompromi, namun dalam kes ini saya belum lagi menerima laporan lengkap. Tetapi mengikut amalan, jika ia sudah dilaporkan kepada polis, maka kami perlu menunggu sehingga siasatan selesai.
“Sebaik selesai, barulah keputusan dibuat, namun yang pasti jika terbukti mana-mana pihak bersalah maka tindakan tegas menunggu mereka. “Apapun, saya merasa dukacita dengan kejadian begini kerana ia tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini yang mana kami dapati disiplin pelajar dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Segamat Batu Anam, Segamat, Johor cedera di kepala dan menerima satu jahitan kerana cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan pelajarnya, Selasa lalu.

Difahamkan dalam kejadian jam 11 pagi itu, kebanyakan guru dan pelajar sedang menyertai kejohanan sukan di padang sekolah, sebelum guru Sains berusia 27 tahun itu melihat dua kumpulan membabitkan 10 pelajar bergaduh di tepi padang.

Berikutan itu, dia dikatakan bertindak menjadi orang tengah dan cuba meleraikan perbalahan berkenaan sebelum tiba-tiba seorang pelajarnya meluru sambil cuba memukul pelajar lain dengan penyapu, namun malangnya terkena kepala guru berkenaan.

Dr Mohd Puad berkata, tahap masalah disiplin pelajar di semua sekolah semakin menurun sekali gus menyaksikan satu perkembangan baik.
Katanya, pengenalan pendekatan baru antara dua pihak bersandar konsep guru penyayang yang menyambut kedatangan pelajar di pintu pagar sekolah juga diyakini boleh mewujudkan suasana kekeluargaan dan harmoni di sekolah.

“Konsep ini penting selain bentuk hukuman kepada kesalahan dilakukan. Dan ini yang kami cuba wujudkan supaya murid dan pelajar tak merasa takut dengan guru bahkan mereka berasa seperti keluarga dan suasana cukup harmoni di sekolah,” katanya.

Jelasnya lagi, kes buli, gengsterism, merokok dan berambut panjang di sekolah juga tidak meruncing kerana masalah disiplin paling tinggi adalah daripada kategori ponteng sekolah, malah ia juga berpunca daripada banyak faktor termasuklah ketiadaan pengangkutan di sekolah pedalaman.

myMetro: 13 Julai 2012

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel